Secara umumnya, bahan bacaan merangkumi buku,
akhbar, majalah dan lain-lain. Kebanyakan masyarakat pada zaman yang serba
moden ini hanya mementingkan bahan bacaan yang bersifat keseronokan dan tidak
membosankan apabila membuat pilihan. Hal ini sedikit sebanyak adalah disebabkan
oleh fahaman Hedonisme yang diasaskan oleh Epicurus di mana falsafah hidupnya
bertujuan untuk mencapai sesuatu keseronokan. Oleh itu, guru-guru sering
menghadapi masalah dalam pemilihan bahan bacaan. Guru-guru seharusnya mengambil
berat dan bijak dalam pemilihan bahan kerana terdapat pelbagai jenis bahan
bacaan dalam pendidikan seperti bahan fiksyen dan bukan fiksyen. Bahan bacaan
ini dapat mempengaruhi keberkesanan pembacaan. Pemilihan bahan bacaan amat
penting dan seharusnya disesuaikan dengan peringkat umur pembaca kerana setiap
bahan bacaan mempunyai kosa kata yang berbeza mengikut umur. Setiap pelajar
perlu mempunyai arah dan hala tuju dalam pemilihan bahan bacaan. Garis panduan
dalam pemilihan bahan ini boleh dapatkan daripada guru-guru sekolah mahupun ibu
bapa. Walau bagaimanapun, faktor untuk memilih bahan bacaan seseorang pelajar
itu akan berubah mengikut keperluan pembelajaran.
Faktor
Pembaca
Bahan bacaan ini mampu mempengaruhi
pendidikan akhlak kanak-kanak dan pelajar. Seseorang yang sering membaca bahan
bacaan yang berbentuk motivasi, secara tidak langsung akan cenderung untuk
memotivasikan diri dalam setiap tingkah laku dan perbuatannya seharian. Walau
bagaimanapun, bahan bacaan juga mampu untuk menjadi medium dalam merosakkan
akhlak individu. Umpamanya, bahan bacaan ringan yang berbentuk hiburan, lucah
dan bukan ilmiah yang banyak menyumbang kepada keruntuhan akhlak masyarakat
terutamanya golongan muda kerana bahan tersebut tidak mengandungi elemen
nilai-nilai murni yang dapat memberi kesan positif kepada akhlak individu.
Faktor
Bahan
Prinsip pemilihan bahan bacaan
antaranya ialah bahan tersebut mestilah bersesuaian, mencabar, menarik, jimat
dan mudah serta praktikal. Bahan tersebut mestilah bersesuaian untuk dipelajari
dan diikuti oleh para pelajar. Pemilihan bahan bacaan perlu berkait rapat
dengan objektif dan matlamat pengajaran bahasa, pendekatan, kaedah dan teknik
pengajaran, kaedah pelajar, suasana pembelajaran dan minat pelajar. Bahan
pengajaran yang dipilih oleh guru perlulah bersesuaian dengan matlamat dan
objektif pengajaran. Misalnya, bahan tersebut yang berlandaskan Falsafah
Pendidikan Negara (FPN), budaya, adat resam, agama dan kepercayaan masyarakat
setempat. Guru juga perlu peka dengan keadaan pelajarnya yang memiliki latar
belakang yang berbeza iaitu daripada segi ekonomi mahupun pendidikan. Dalam
pada itu, pembelajaran perli diawasi bagi menjamin keberkesanan dalam
pembelajaran tersebut.
Bahan
yang mencabar dapat dikategorikan sebagai bahan yang dapat merangsang pelajar
untuk berfikir dan mendorongnya untuk terus belajar. Ciri-ciri bahan yang
mencabar adalah daripada bahan yang konkrit kepada bahan yang abstrak, daripada
bahan mudah kepada bahan yang kompleks, daripada bahan yang mengandungi fakta
terasing kepada bahan yang mempunyai hubungan yang bersepadu, daripada bahan
yang khusus kepada bahan yang umum (induktif), daripada bahan yang umum kepada
bahan yang khusus (deduktif), daripada bahan yang umum kepada bahan yang
berbentuk teori dan terakhir ialah bahan daripada masa kini kepada bahan masa
yang akan datang.
Bahan
bacaan yang menarik pula dapat dihasilkan dengan menggunakan teknik reka letak
seperti peta, lukisan, carta, jadual, graf, gambar dan sebagainya. Setiap daripada
reka letak ini perlu disusun berhampiran dengan sesuatu maklumat yang berkaitan
kerana dapat memudahkan pelajar untuk membuat rujukan atau memahami teks yang
dibaca. Saiz huruf juga haruslah bersesuaian dengan peringkat umur pelajar.
Penggunaan ilustrasi dan bahan grafik juga penting kerana kaedah ini berfungsi
sebagai penghias dahan pengajaran dan manifestasi visual sesuatu maklumat yang
dapat mengukuhkan pemahaman dalam sesuatu bacaan. Selain itu, kualiti kulit dan
cara buku dijilidkan turut memainkan peranan yang penting dalam meningkatkan
dan menarik minat pelajar terhadap sesuatu bahan bacaan serta perlu mempunyai
arahan yang jelas dan nyata.
Bahan
bacaan pengajaran juga perlulah dalam bentuk yang mudah dan menjimatkan para
guru dan pelajar. Guru juga boleh menggunakan kreativiti yang dimiliki untuk
menghasilkan bahan bacaan tanpa mengeluarkan wang yang banyak. Bahan tersebut
juga mestilah bersifat mudah alih iaitu mudah untuk dibawa ke mana-mana.
Pemilihan
bahan seterusnya adalah yang bersifat praktikal sama ada kepada guru atau
pelajar. Dalam hal ini, bahan tersebut mestilah digambarkan dalam situasi yang
sebenar dengan menggunakan gaya dan bentuk bahasa yang tepat oleh guru dan
pelajar. Kaedah ini secara tidak langsung dapat membantu pelajar untuk
meningkatkan kemahiran komunikasi.
Bersesuaian
dengan Peringkat Umur
Pemilihan
bahan bacaan mestilah sesuai dengan peringkat umur pembaca. Pemilihan yang
sesuai dengan peringkat umur penting kerana setiap perbendaharaan kata dan
bahasa yang digunakan boleh difahami oleh pelajar. Perbendaharaan kata adalah
faktor yang paling meyakinkan untuk meramal kesukaran teks. Terdapat dua cara
yang biasa digunakan untuk mengukur kesukaran teks melalui faktor ini iaitu
dengan mengukur kepanjangan perkataan dan kekerapan perkataan. Perkataan yang
panjang merupakan perkataan yang jarang digunakan manakala perkataan yang kerap
digunakan merupakan perkataan yang mudah dikenali dan difahami. Terdapat dua
jenis bahan bacaan iaitu fiksyen dan bukan fiksyen. Bahan fiksyen adalah
cerpen, cerita dongeng dan novel manakala bahan bukan fiksyen pula adalah
sejarah, geografi, bahasa, buku-buku falsafah dan sebagainya.
Pada
peringkat prasekolah iaitu yang berumur 0 hingga 6 tahun, kanak-kanak pada
peringkat umur ini belum lagi mempunyai fikiran yang kritis untuk memahami
sebab dan akibat atau cara dan tujuan. Pengetahuan kanak-kanak tentang
kenyataan dan fakta adalah sangat sederhana. Buku yang sesuai bagi peringkat
prasekolah ini perlulah mengandungi teks yang pendek, penuh dengan aksi mudah
yang menuju kepada kesimpulan yang memuaskan. Ia juga harus mempunyai perkaitan
dengan dunia sehariannya. Hal ini demikian kerana ia dapat membantu kanak-kanak
memahami dan menginterpretasikan dunia sekelilingnya.
Peringkat umur 6 hingga 8 tahun,
kanak-kanak yang berada pada peringkat umur ini mempunyai sifat ingin tahu yang
tinggi dan sudah mula mengerti serba sedikit apa-apa yang dibincangkan oleh
orang dewasa. Kanak-kanak selalunya telah bersedia untuk membaca jika
tertanya-tanya tentang huruf dan perkataan dalam buku, akhbar atau kertas.
Meluangkan masa untuk membaca buku-buku yang bergambar dengannya dan seterusnya
bercerita dengannya. Keadaan ini akan menarik minat dalam perkataan dan leka
untuk meningkatkan tatabahasanya. Kanak-kanak juga boleh menulis dan membaca
serta menyalin semula bahan bacaan tersebut.
Pada peringkat ini, kanak-kanak
mungkin sudah boleh membaca buku yang mengandungi teks yang banyak. Buku-buku
bergambar juga bersesuaian kerana gambar yang terdapat dalam buku boleh memberi
gambaran kepada teks dengan jelas. Kanak-kanak juga berminat dengan hal yang
berkaitan dengan alam semula jadi dan haiwan.
Peringkat umur 8 hingga 10 tahun
adalah kanak-kanak yang mempunyai daya imaginasi yang semakin berkembang dan
seronok. Bahan bacaan yang mengandungi unsur cerita dongeng dan cerita rakyat
amat sesuai digunakan untuk membantu kanak-kanak berimaginasi.
Seterusnya
kanak-kanak yang berumur 10 hingga 12 tahun telah mempunyai sikap yang kritis
terhadap unsur-unsur kenyataan dan bersedia untuk menerima pengetahuan baharu.
Perkembangan tatabahasa juga berkembang dengan cepat dan mempunyai kebolehan
yang tinggi dalam mengungkapkan idea yang abstrak. Kanak-kanak juga berusaha
untuk belajar mendapatkan maklumat daripada buku. Kanak-kanak juga mampu untuk
mengikuti arahan-arahan yang terdapat dalam buku. Oleh itu, pada peringkat ini,
buku yang berhubung dengan seni dan kerja tangan mampu untuk menarik minat.
Isi
Kandungan
Bahan bacaan yang baik ialah yang
mempunyai isi kandungan yang bertepatan dengan tajuk. Pelajar seharusnya
mengenal pasti jenis bahan bacaan yang dibaca sama ada berbentuk fiksyen atau
bukan fiksyen. Selain itu, isi kandungan juga dapat memberi mesej dan
pengajaran kepada pembaca. Pemilihan bahan bacaan yang tepat dapat merangsang
kesedaran dan pemikiran yang kritis para pembaca.
Faktor
Ayat
Jika
struktur ayat adalah kompleks, pemahaman terhadap petikan adan menjadi sedikit
sukar. Penggunaan perkataan untuk menerangkan sesuatu perkara adalah berlebihan
seperti perkataan lebih suka, lebih
kurang dan beberapa menyebabkan
kefahaman teks menurun. Manakala penggunaan perkataan kemungkinan seperti mungkin, selalunya, boleh jadi dan kadangkala boleh menyebabkan kekaburan
dan ketidakjelasan teks yang dibaca. Kesukaran ayat boleh dikategorikan kepada
lima iaitu, kata kerja berbanding kata kerja pasif, proses pembentukan kata
nama, kata kerja bantu dan pemahaman serta penggantian.
Bahan
bacaan tambahan yang dipilih hendaklah bersesuaian dari segi laras dan aras
bahasa mengikut keperluan dan tahap pelajar. Perkara yang sepatutnya dielakkan
adalah penggunaan istilah yang boleh menimbulkan isu sensitif, penggunaan ayat
yang kesat dan penggunaan bahasa yang tidak sesuai dengan budaya masyarakat
Malaysia.
No comments:
Post a Comment