Terdapat beberapa langkah atau pendekatan yang boleh
digunakan oleh guru untuk membantu pelajar bagi memastikan pelajar dapat
menguasai sesuatu kemahiran seperti membaca. Dalam konteks ini, ia merangkumi
beberapa aspek antaranya ialah pengalaman pelajar, teks yang digunakan serta
kebolehan pelajar. Pendekatan mengajar membaca yang sesuai perlu digunakan oleh
guru bagi memastikan pelajar dapat menguasai kemahiran membaca. Pendekatan yang
sama tidak boleh digunakan untuk semua individu dan peringkat umur.
Pendekatan
Membaca Asas
Menurut Kamarudin Husin (1996),
membaca adalah satu usaha menyuarakan tulisan dan mengambil isi fikiran yang
tertulis dan memahamkan kandungannya. Menurut beliau lagi, seorang pembaca
perlu mengarahkan pengetahuan yang sedia ada padanya untuk memberi makna pada
lambang-lambang tulisan yang dibaca, seterusnya, mendapatkan erti daripada lambang-lambang
tulisan tersebut. Pendekatan ini meliputi aktiviti mengajar bahasa biasa yang
menggunakan pelbagai kemahiran. Tujuannya adalah rekreasi, mencari maklumat
serta bimbingan. Pendekatan ini juga turut menekankan kesinambungan pengulangan
dan mengulang kaji perkara yang telah diajar. Hal ini bermakna, pelajar
hendaklah sentiasa membuat latihan terhadap tajuk-tajuk yang telah diajar
selain daripada membuat penambahan bahan kepada perkara yang telah diajar agar
dapat membantu pelajar dalam menguasai kemahiran membaca.
Seterusnya,
dalam pendekatan ini pola dan perbendaharaan kata turut dipandang serius.
Guru-guru perlu menjelaskan dengan terperinci terhadap sesuatu perkara agar
bilangan perkataan yang digunakan oleh pelajar dapat dikira dengan tepat dalam
waktu-waktu tertentu. Malah, perkara yang lebih penting dalam pendekatan ini
adalah guru yang perlu memikirkan kebolehan dan pengalaman yang dimiliki oleh
pelajar dalam peringkat menguasai kemahiran membaca.
Pendekatan
ini mempunyai prinsip yang tertentu seperti pengajaran perkembangan kemahiran.
Hal ini merujuk kepada guru menekankan aspek yang penting dalam pengajaran.
Misalnya, semasa dalam proses pengajaran dan pembelajaran guru akan menulis
menggunakan papan hitam. Kemudian, guru akan menggariskan perkara-perkara yang
penting yang ingin diberi perhatian. Malah, dalam pendekatan membaca asas juga,
ia turut meliputi membaca secara terarah yang terbahagi kepada lima cara iaitu
motivasi, persediaan latar belakang, menetapkan tujuan, membaca semula secara
senyap mahupun lisan secara terarah dan juga tindak balas dan perluasan.
Berdasarkan
konteks motivasi, ia berdasarkan latar pengalaman, kuiz, menyelesaikan masalah,
dan sebagainya. Guru boleh melakukan aktiviti seperti kuiz dalam kelas agar
pelajar lebih bersemangat untuk belajar dan lebih memahami terhadap perkara
yang diajar. Seterusnya, persediaan latar belakang yang merujuk kepada
perkataan yang sukar atau asing yang disebut oleh guru. Kemudian, guru meminta
pelajar untuk menggunakan perkataan tersebut dalam konteks perbualan atau
karangan. Malah, guru juga boleh meminta pelajar untuk meneka makna perkataan asing
yang digunakan itu. Malah, dalam konteks ini guru dan pelajar perlulah
menetapkan tujuan bagi mendapatkan hasil yang diperoleh apabila membaca sesuatu
teks sama ada memberikan unsur humor, menyelesaikan masalah dan sebagainya.
Pelajar juga boleh membaca secara senyap atau lisan secara terarah. Cara ini
menunjukkan cara guru membiarkan pelajar membaca senyap atau menghayati teks
terlebih dahulu sebelum menjawab soalan. Pada masa yang sama, guru boleh
membantu pelajar secara individu dan secara tidak langsung dapat membantu
pelajar yang lemah dalam membaca.
Pendekatan
Teknologikal
Pendekatan ini menekankan keupayaan
menghasilkan pengajaran berurutan yang dapat dilakukan semula pada masa yang
lain. Malah turut menekankan perkara yang dapat dirasai oleh pancaindera serta
diberikan bukti kebenarannya. Pendekatan ini dilabelkan sebagai sistem membaca
berdasarkan objektif program berdasarkan kriteria, membaca berdasarkan
kecekapan, sistem pengurusan kemahiran dan membaca berdasarkan perspektif
diagnostik.
Pendekatan
ini juga terdapat beberapa aspek antaranya ialah berkenaan dengan objektif
tingkah laku. Pelajar perlu memahami dan mengenal pasti perkataan, objektif
terhadap sesuatu pemahaman serta kemahiran belajar. Seterusnya ialah ujian
kriteria bagi setiap objektif. Perkara ini bagi menentukan status dan kedudukan
individu dengan merujuk kepada tingkah laku, contohnya kemahiran membaca atau
beberapa kemahiran lain dalam kemahiran membaca. Pada masa yang sama,
rangsangan yang diberikan hendaklah sesuai dengan setiap objektif yang telah
ditetapkan. Selain itu, strategi pengajaran juga perlu digunakan dalam
pendekatan teknologikal yang merujuk kepada strategi yang wujud dalam bentuk
bahan, program pelajaran atau aktiviti pelajar yang memerlukan tindak balas. Di
samping strategi melalui contoh dan penerangan membantu pelajar mencapai
objektif yang ditetapkan. Walau bagaimanapun, bagi sesetengah sistem
pengajaran, ia hanya menawarkan sumber khusus. Hal ini kerana setiap
pelaksanaan pengajaran menarik, akan membatu pelajar dalam menguasai kemahiran
membaca. Aspek terakhir ialah sistem menyimpan rekod.
Pendekatan
Pengalaman Bahasa
Pendekatan
ini merujuk kepada pelajar yang mempunyai perbezaan linguistik dan mempunyai
kelebihan tertentu seperti guru dapat menilai penggunaan sintaksis dan struktur
ayat apabila pelajar menggunakan bahasa lisan itu sendiri, dapat menggabungkan
penulisan dalam mengarang cerita daripada pengalaman individu atau kumpulan,
dapat mengembangkan perbendaharaan kata dan sintaksis apabila menulis cerita
daripada bahan yang didengari serta hasilnya akan membuatkan kesan yang
positif.
Pendekatan
ini melibatkan aktiviti hubungan antara pemikiran, peraturan, penulisan dan
membaca. Guru merangsang pelajar mengenai sesuatu perkara yang diajar. Pada
masa yang sama, pelajar hendaklah melahirkan pemikiran secara lisan berdasarkan
huraian situasi, analisis masalah serta beberapa cadangan penyelesaian daripada
perkara yang dilihat. Melihat kepada konteks ini, ia menjelaskan bahawa perkara
yang difikirkan, diucapkan dan dituliskan sangat bermakna. Hal ini kerana ia
secara tidak langsung menunjukkan pemahaman pelajar terhadap sesuatu perkara.
Pendekatan ini menjelaskan terhadap bahan dan kandungan yang perlu dilaksanakan
oleh guru seperti tidak menggunakan buku teks yang tertentu. Hal ini disebabkan
oleh pendekatan yang merujuk kepada kaedah yang berfokus kepada pengalaman. Kemudiannya,
perbendaharaan kata dan pola ayat juga dibina sendiri oleh pelajar. Malah, isi
kandungan yang dijelmakan merupakan refleksi daripada pengalaman pelajar
sendiri dan aktiviti yang dijalankan.
Pendekatan
ini mempunyai kaedah pengajaran yang tertentu antaranya guru perlu berfikir dan
melahirkan rangsangan penulisan, menulis pemikiran yang diucapkan, membaca
perkara yang ditulis, membuat generalisasi berkenaan dengan pola ejaan dan ayat
yang ditulis serta menyatakan cara pemilihan dan penyusunan yang mempunyai
kesan ke atas makna sesuatu ayat. Walau bagaimanapun, pendekatan ini mempunyai
kelebihan dan kekurangan yang tersendiri seperti hubungan yang rapat antara
belajar membaca dengan kepentingan pelajar sendiri, perhatian dan bahasa yang
digunakan. Kemudian, menghasilkan kesepaduan dalam semua kemahiran berbahasa
seperti berfikir, bertutur, mendengar dan menulis serta membaca. Sementara itu,
kekurangannya pula adalah pendekatan ini memerlukan guru mengakses pengalaman
dan kemudian ia menyalurkan pengalaman itu bagi tujuan perkembangan bahasa.
Malah, pendekatan ini juga akan menyebabkan penggunaan perkembangan mental yang
kompleks. Hal ini kerana perbualan biasa bergantung kepada konteks dan bahasa
badan yang digunakan bagi memudahkan pemahaman.
Pendekatan
Membaca Individu
Pendekatan ini lebih menekankan
aspek pemeringkatan yang berbeza dalam pembacaan individu. Malah, ia juga
menekankan aspek pemilihan bahan bacaan yang mengaitkannya dengan keperluan,
minat dan keupayaan seseorang untuk membaca. Pada masa ini, guru-guru perlu
membantu cara memiliki buku dengan penyiringan serta menerangkan kesukaran
ketika membaca. Biasanya, guru akan memberi peluang kepada pelajar untuk
membaca secara meluas serta bebas berdasarkan buku dan majalah pelbagai tajuk.
Tujuan
pendekatan ini dilaksanakan adalah kerana ia merupakan salah satu yang memberi
kesan yang meluas dalam menarik minat membaca pelajar serta komitmen yang
menjadikan aktiviti membaca sesuatu yang bernilai dalam kehidupan. Malah,
melalui pendekkan ini ia dapat membantu untuk mengembangkan kecekapan kemahiran
bahasa yang luas bermula dengan memilih kata yang mudah kepada aplikasi
kemahiran bahasa dengan kandungan yang lebih kompleks. Pada masa yang sama,
pendekatan ini turut menambahkan keupayaan pelajar untuk memahami dan menilai
bahan bacaan seperti meluaskan keupayaan mengingat semula perkara yang telah
dibaca sama ada dapat memahami secara keseluruhan atau tidak.
Pelaksanaan
pendekatan ini, perlu dilaksanakan melalui beberapa prinsip. Guru boleh memilih
sama ada ingin menggunakan prinsip pilihan kendiri atau perbincangan antara
guru dan pelajar. Aspek pemilihan kendiri pula, guru perlu mempercayai setiap
kanak-kanak memilih buku yang berdasarkan minat dan kepercayaan. Pegangan dan
kepercayaan ini akan mempengaruhi pemilihan kaedah, bahan dan alatan yang
digunakan (Marohaini Yusoff, 1989). Hal ini kerana secara tidak langsung akan
membantu pelajar dalam mengembangkan penguasaannya dalam membaca. Kemudian,
dalam aspek perbincangan antara guru dan murid, melalui aspek ini pengajaran
dilaksanakan secara personel atau konferensi. Malah, ia juga melibatkan
penglibatan murid serta menggunakan huraian yang sesuai. Guru yang melaksanakan
pendekatan ini perlu merekod huraian bacaan pelajar dalam konteks kelebihan serta
kekurangan.
Pendekatan
Bahasa Bersepadu berdasarkan Falsafah Bahasa Keseluruhan
Pendekatan ini lebih kepada
mencerminkan teori utama yang berasaskan bahasa kedua dan membina kekuatan
linguistik pelajar. Pada masa ini pelajar membaca bagi keseronokan dan pada
masa yang sama dapat mencari maklumat. Secara tidak langsung menunjukkan bahawa
mendapatkan maklumat merupakan matlamat utama pendekatan ini. Guru amat
diperlukan pada masa ini kerana guru harus membantu pelajar untuk menyelesaikan
masalah pelajar.
Selain
itu, pendekatan ini juga pelajar mempunyai pilihan yang tersendiri untuk belajar
semua kemahiran membaca yang wujud berpusatkan pelajar dan fungsi guru sebagai
fasilitator pembelajaran. Pengajaran guru yang menggunakan pendekatan ini
menggunakan sifat autentik terlalu penting kepada pelajar bahasa pertama dan
kedua. Guru-guru digalakkan membina pengajaran dengan menggunakan kesusasteraan
untuk menyediakan pendidikan yang bersifat multi budaya kepada semua pelajar.
Di samping itu, melalui pendekatan ini pelajar dapat mengembangkan penguasaan
bahasa semula jadi yang menekankan makna dalam konteks dan pengalaman pelajar
bagi memudahkan pemahaman membaca.
Pendekatan
Membaca berasaskan Bahan Kesusasteraan
Pendekatan ini pula menekankan
bahan-bahan kesusasteraan yang mungkin dalam bentuk yang paling asas. Malah,
melalui pendekatan ini juga, pembinaan kebolehan berbahasa dapat diterapkan,
bahan sastera yang digunakan pada peringkat awal membaca. Hal in kerana ia
dapat mendorong pelajar untuk lebih memahami dengan lebih meluas berkenaan
dengan aspek bahasa yang terkandung dalam struktur ayat. Membaca menggunakan
bahasa kesusasteraan juga akan memperlihatkan keindahan bahasa yang wujud dalam
bahan itu sehingga pelajar dapat mengetahui dan memahami jalan cerita yang
ingin disampaikan.
Sementara
itu, sebagaimana yang sedia maklum negara Malaysia mempunyai pelajar yang
berbilang kaum dan secara tidak langsung penggunaan sastera etnik yang lain
akan membantu pelajar untuk memahami serta mengamalkan rasa saling bersatu
dalam satu kelompok pelbagai etnik. Konteks pendidikan bahasa di Malaysia, KOMSAS
merupakan komponen sastera yang dapat membantu pelajar untuk mencapai tahap
kemahiran membaca.
Pendekatan
Pembacaan Lisan
Pendekatan pembacaan lisan, ia
boleh dilakukan dengan menggunakan buku kerana ia mempunyai bahasa yang
mengulangi sesuatu bahan seperti guru membaca teks yang terdapat dalam buku,
kemudian pelajar mengikutinya. Malah, perbincangan boleh dilakukan berkenaan
dengan cerita yang disampaikan dan membacanya sekali lagi. Pembacaan ini
dilakukan secara berulang-ulang.
Pendekatan
Pembacaan Asas
Semasa
guru menggunakan pendekatan ini, pelajar perlu memberi perhatian melalui
beberapa aspek yang diketengahkan. Aspek tersebut ialah mengembangkan konsep
latar belakang dan perbendaharaan kata sebelum membaca, mahir mengemukakan
soalan semasa membaca senyap bagi mengenal pasti dan menghapuskan kekeliruan
serta bagi meningkatkan pemahaman pelajar. Aspek seterusnya adalah penegasan
yang lebih khusus ke atas kemahiran mendengar bahasa berbanding dengan membaca
lisan. Hal ini bagi menjadikan pembacaan yang lebih menarik, guru juga boleh
menggabungkan pendekatan mengajar asas membaca dan juga pendekatan
kesusasteraan.
Pendekatan
Mengajar Bacaan Peringkat Awal
Pelaksanaan
pendekatan ini mempunyai beberapa peringkat asas yang perlu dilaksanakan oleh
guru iaitu pendekatan binaan dan pendekatan cerakinan. Pendekatan binaan atau
sintektik ini merupakan kaedah abjad yang melihat kepada guru melatih pelajar
untuk menyebut dan menghafal abjad. Kaedah suku kata pula dapat memperkenalkan
kepada pelajar daripada aspek vokal dan konsonan. Huruf konsonan dan vokal
menjadikan satu suku kata dan dalam suku kata pula terdapat suku kata terbuka
dan suku kata tertutup. Kaedah fonik pula berkenaan dengan bunyi huruf dan
bukannya nama huruf. Kemudian huruf akan digabungkan menjadi perkataan.
Kedua
pula ialah aspek pendekatan cerakinan atau analitik dengan menggunakan kaedah
perkataan yang menjurus kepada memperkenalkan perkataan kepada pelajar dengan
menggunakan kad perkataan. Guru boleh menggunakan akronim bagi memudahkan pelajar
untuk mengingat perkataan-perkataan tertentu. Malah, pendekatan ini akan
memudahkan pelajar untuk mengingati makna perkataan tersebut. Kaedah ayat dan
cerita pula lebih memberi penekanan kepada ayat sebagai unit yang bermakna
dalam bacaan. Malah lebih menumpukan kepada bahan bacaan yang lebih berbentuk
cerita.
Pendekatan
Bacaan Asas Pusat Perkembangan Kurikulum (PEBAS)
Pendekatan ini juga terbahagi
kepada dua aspek iaitu pendekatan gabungan bunyi kata dan pendekatan abjad dan
suku kata. Pendekatan gabungan bunyi kata adalah menekankan aspek pendekatan
berdasarkan faktor sistem ejaan bahasa Melayu yang bersifat fonemik, kebanyakan
suku kata bahasa Melayu mudah dan jelas serta perkataan yang mula diperkenalkan
sudah difahami maknanya oleh pelajar.
Aspek pendekatan abjad dan suku
kata adalah menekankan kepada murid yang boleh dikesan melalui murid dapat
mengenali huruf dan juga hubungannya dengan bunyi, huruf konsonan pula
digabungkan dengan huruf vokal yang menjadikan suku kata, unit-unit kecil vokal
juga digabungkan dan pelaksanaan latih tubi sehingga pelajar boleh mengikuti
kemahiran yang diajar serta pengukuhan juga dilakukan melalui penulisan.
Pendekatan
Keterampilan Proses
Pendekatan
keterampilan proses dalam pengajaran bahasa adalah pendekatan yang memberikan
kesempatan seluas-luasnya kepada siswa untuk terlibat secara aktif dan kreatif
dalam proses pemerolehan bahasa. Pendekatan ini dipandang sebagai pendekatan
dalam proses belajar-mengajar yang sesuai dalam era perkembangan ilmu
pengetahuan dan teknologi. Pendekatan ini memberikan pengetahuan, pengalaman
serta keterampilan yang sesuai untuk memperoleh serta mengembangkan kompetensi
bahasa yang dipelajari.
Fokus
pembelajaran tidak hanya pada pencapaian tujuan pembelajaran sahaja, melainkan
juga pada pemberian pengetahuan, pengalaman dan keterampilan untuk mencapai
tujuan pembelajaran tersebut. Pengelolaan kelas dalam pembelajaran dengan
pendekatan keterampilan proses dilaksanakan dengan pengaturan kelas, baik
secara fizikal mahupun spiritual. Pengaturan dilakukan sedemikian rupa agar
siswa mempunyai keleluasaan gerak, merasa aman, bergembira, bersemangat dan
ghairah untuk belajar. Oleh hal yang demikian, materi yang dilakukan kepada
siswa akan mencapai hasil yang maksimum.
Pendekatan
Holistik
Tujuan
pendekatan ini adalah untuk mengembangkan potensi individu dalam suasana
pembelajaran yang lebih menyenangkan. Pelajar diharapkan dapat menjadi dirinya
sendiri. Pelaksanaan mengajar membaca secara holistik perlu bermula pada
peringkat awal yang membabitkan penyertaan pelbagai pihak termasuklah pelajar,
guru, ibu bapa dan masyarakat sebagai usaha memperoleh manfaat sepenuhnya.
Teks
yang digunakan dalam bahan bacaan ialah autentik iaitu teks dalam bentuk
penerbitannya yang sebenar. Pergantungan semata-mata pada buku teks dalam kelas
akan menghadkan pembacaan terhadap bahan yang tidak lengkap dan telah
diubahsuai dengan keperluan dan kepadatan ruang dalam buku teks tersebut. Jadi,
guru haruslah menggunakan buku dalam bentuk penerbitan supaya pelajar dapat menghalusi
pemikiran penulis lebih mendalam.
Pendekatan
Whole Language
Pandangan
tentang belajar dan cara mendorong proses tersebut agar pelajar dapat membaca
secara efektif dan efisien sehingga mencapai hasil yang optimal. Satu
pendekatan dalam pengajaran bahasa dikembangkan berdasarkan pelbagai wawasan
dan hasil penelitian daripada pelbagai bidang ilmu antara lain pemerolehan
bahasa dan pengembangan membaca dan menulis.
Guru
melaksanakan kurikulum yang sudah dirancang dan disiapkan secara terperinci.
Pelajar akan memahami informasi yang disampaikan oleh guru secara langsung.
Pelajar akan aktif memahami dan menghayati pemahaman dan penghayatan proses
pembacaan. Kaedah mengajar membaca adalah seperti bebas, membaca secara
berkoperatif, membaca dengan panduan guru, berkongsi membaca dan membaca
lantang. Ketika membaca bebas merupakan keadaan di mana pelajar terlebih dahulu
membaca keseluruhan bahan bacaan yang dipilih. Pelajar berpeluang membaca bahan
yang dipilih daripada sekumpulan bahan yang disediakan oleh guru manakala
aktiviti bacaan yang dijalankan dalam bilik darjah yang dikawal oleh guru.
Perkara yang perlu ditegaskan dalam kaedah ini adalah arahan awal supaya
pelajar membuat persediaan awal sebelum membaca seperti menyediakan soalan
sebelum, semasa dan selepas pembacaan.
Pendekatan
dalam Mengajar Membaca secara Berpusatkan Pelajar
Pendekatan
ini merupakan kaedah untuk meningkatkan penglibatan pelajar dalam proses
pengajaran dan pembelajaran terutamanya dalam aspek membaca dan menggalakkan pelajar
menjadi aktif dan tidak pasif. Guru merupakan seorang pemimpin yang memandu
para pelajar menjalankan pendekatan dalam membaca sama ada secara berkumpulan
atau individu. Pendekatan ini tidak bermakna pelajar akan menentukan bahan
pembelajarannya, tetapi pendekatan ini diinterpretasikan dengan pelajar memilih
tajuk bacaan, kaedah membaca yang ingin digunakan serta aktiviti yang ingin
dilakukan.
Pendekatan
Keseluruhan Kata
Pendekatan pengajaran membaca
secara keseluruhan kata ini banyak digunakan dalam pengajaran membaca pada masa
ini. Penekanan bukan sahaja kepada bunyi huruf tentang bunyi keseluruhan
perkataan yang terdapat pada sesuatu bahan bacaan. Kajian yang dijalankan oleh
pengkaji seperti Gates 1928 dan Steinberg 1978 (Steinberg, 1982) membuktikan
bahawa kanak-kanak dapat membaca dengan lebih cepat jika pengajaran dimulakan
dengan unsur-unsur yang bermakna berbanding dengan unsur-unsur yang tidak
bermakna.
Membaca
secara keseluruhan akan membuatkan guru menyediakan carta atau kad imbas yang
mengandungi perkataan yang lengkap dan gambar yang disertakan untuk dijadikan
sebagai klu bagi membantu pelajar menyebut perkataan tersebut. Pengulangan juga
berlaku bagi memastikan pelajar dapat menguasai sebutan sesuatu perkataan
berdasarkan huruf yang tertera di bawah gambar yang diberikan. Latihan
mengulang kaji sebutan perkataan dijalankan sehingga pelajar benar-benar mahir
dalam menyebut perkataan atau ayat yang mudah secara keseluruhan.
No comments:
Post a Comment