Membaca merupakan salah satu kemahiran yang penting dalam kehidupan seharian kita. Hal ini demikian kerana kita perlu membaca untuk memperoleh maklumat tertentu. Kita telah diajar untuk membaca sejak bersekolah di prasekolah dan ada ibu bapa yang mengajar anak-anak membaca di rumah sebelum anak-anak mereka belajar di sekolah. Selain itu, seorang pelajar menjalani akan proses pembelajaran di sekolah selama sebelas, iaitu darjah satu sehingga tingkatan lima. Pelajar akan belajar berdasarkan sukatan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia mengikut tahap pembelajaran pelajar. Walau bagaimanapun, masalah yang berkaitan membaca seperti masalah pelajar buta huruf tetap ada di sekolah.
Masalah membaca merupakan masalah
yang lazim berlaku. Walaupun pelajar telah menerima pendidikan dan pengajaran
di sekolah yang disampaikan oleh guru, terdapat juga pelajar yang masih tidak
mampu untuk membaca. Hal ini disebabkan oleh pelbagai faktor. Faktor-faktor
tersebut boleh dibahagikan kepada dua, iaitu faktor luaran dan faktor dalaman.
Faktor luaran merupakan faktor yang
disebabkan oleh fizikal atau persekitaran pembaca. Faktor fizikal merupakan
faktor yang melibatkan fizikal atau jasmani pembaca seperti penglihatan,
pendengaran, dan sebagainya. Menurut Mahzan Arshad (2008), kecacatan yang
ringan terhadap deria tidak akan mendatangkan kesan yang negatif terhadap
kebolehan membaca, namun kecacatan yang berat boleh menyebabkan ketidak upayaan
membaca.
Penglihatan merupakan elemen yang
penting dalam proses membaca. Masalah penglihatan akan memyebabkan proses
membaca terjejas. Menurut Marohaini Yusoff (1999), beliau menyatakan bahawa
proses membaca bermula dengan melihat dan mengecam perkataan atau
lambang-lambang bahasa yang hendak dibaca. Juling merupakan salah satu masalah
penglihatan. Juling akan menyebabkan imej bagi satu benda yang sama kelihatan
tidak sama saiz dan bentuknya (Mahzan Arshad, 2008: 182). Selain itu, rabun
dekat dan jauh akan menyebabkan pembaca tidak dapat melihat sesuatu pada jarak
yang jauh atau dekat. Masalah penglihatan akan memberikan kesan yang buruk
terhadap kanak-kanak yang akan menggunakan peglihatan pada peringkat awal dalam
kemahiran membaca untuk mencerap imej huruf pada paparan permukaan bertulis.
Hal ini akan menyebabkan masalah bagi kanak-kanak untuk meneruskan proses
membaca pada peringkat seterusnya, iaitu peringkat mendekod (Mahzan Arshad,
2008: 182).
Pendengaran juga merupakan faktor
yang penting dalam proses membaca. Pendengaran yang kurang baik akan
menyebabkan masalah untuk belajar membaca. Menurut Mahzan Arshad (2008), mereka
yang mempunyai masalah pendengaran akan menghadapi masalah untuk membezakan
bunyi vokal dan konsonan. Sebagai contoh, kanak-kanak tidak dapat untuk
membezakan antara vokal /a/ dengan vokal /e/, /u/ dengan /o/ dan /i/ dengan /ə/.
Menurut beliau lagi, kerencatan pendengaran mempunyai dua ketagori, iaitu
kerencatan sementara dan kerencatan kekal. Masalah kerencatan pendengaran boleh
dirawat dan rawat hanya boleh diberikan oleh doktor perubatan dan pakar
Telinga, Hidung dan Tekak sahaja.
Selain daripada pendengaran,
pertuturan juga memainkan peranan yang penting dalam proses membaca. Masalah
dalam pertuturan akan mengakibatkan masalah dalam membaca. Masalah pertuturan
merupakan masalah seperti kecelaruan bunyi suara, nada yang tidak menentu,
pertutuan spastik dan sebagainya. Hal ini berpunca daripada masalah emosi,
kelewatan pertumbuhan, kurang pendengaran, pertumbuhan kerongkong yang tidak
lengkap, sumbing, dan sebagainya (Mahzan Arshad, 2008: 183&184). Walau
bagaimanapun, tidak semua punca masalah pertuturan boleh mengakibatkan masalah
dalam membaca.
Selain faktor fizikal, masalah
membaca juga boleh disebabkan oleh faktor persekitaran. Persekitaran memainkan
peranan yang agak penting dalam proses membaca. Hal ini demikian kerana
persekitaran terutama persekitaran rumah yang kondusif dan selesa dapat
memberikan kesan yang positif terhadap proses membaca. Menurut Marohaini Yusoff
(1999), beliau menyatakan bahawa terdapat beberapa perkara yang berkaitan
dengan persekitaran terutama rumah. Antaranya ialah sosiobudaya di rumah,
kestabilan sosial, corak interaksi dan sebagainya. Di bilik darjah pula,
guru-guru dan rakan-rakan memainkan peranan penting dalam proses membaca.
Menurut Pearson dan Johnson (1978), guru, rakan sebaya dan ekologi di dalam
bilik darjah mempengaruhi bacaan dan kefahaman. Sebagai contoh, sekiranya
keadaan di dalam bilik darjah amat bising dan tidak selesa, pelajar tidak dapat
untuk membaca dengan selesa. Oleh yang demikian, mereka akan memilih untuk
tidak membaca. Kesannya, pelajar tersebut akan mengalami masalah membaca
sekiranya hal ini berlaku secara berterusan.
Masalah membaca juga disebabkan
oleh masalah yang melibatkan oleh kaedah pengajaran guru di dalam kelas.
Pengajaran yang disampaikan oleh guru amat penting untuk pelajar khususnya
memperolehi maklumat dan kemahiran dalam pembelajaran terutama membaca. Kegagalan
guru dalam proses mengajar akan memberikan kesan yang negatif terhadap pelajar.
Masalah ini dapat dibahagikan kepada tiga, iaitu guru kurang pengalaman dalam
pengajaran, penggunaan kaedah pengajaran yang tidak sesuai dan ketiadaan kaedah
yang berkesan dalam pengajaran membaca. Masalah guru kurang pengalaman dalam
pengajaran menjadi faktor yang utama. Hal ini demikian kerana seseorang guru
yang kurang pengalaman tidak menggunakan kaedah membaca yang sepatutnya
digunakan seperti kaedah suku kata atau apa-apa kaedah yang baik.
Selain masalah dalam kaedah
pengajaran. Masalah terhadap teks yang digunakan juga menjadi salah satu faktor
luaran yang menyebabkan masalah membaca. Teks yang mudah dan menarik memudahkan
pembaca untuk membaca dan memahami kandungan teks tersebut. Namun, teks yang
terlalu tinggi bahasanya akan memberi kesukaran terhadap pembaca untuk memahami
apa-apa yang hendak disampaikan melalui teks tersebut. Teks yang tidak menarik
terutama teks yang mempunyai isi kandungan atau bahan bacaan yang sudah lama
dan kurang sesuai dengan keadaan semasa pelajar akan memberi impak terhadap
pelajar. Selain itu, teks yang sukar difahami seperti teks yang terlalu panjang
serta ceritanya ketinggalan zaman akan memyebabkan pelajar kurang berminat
untuk membaca teks tersebut terutama pelajar-pelajar di sekolah rendah.
Kesannya, mereka akan menghadapi masalah membaca kerana mereka tidak dapat
untuk berlatih membaca berdasarkan teks yang telah disediakan.
Masalah membaca juga disebabkan
oleh masa pengajaran. Hal ini demikian kerana masa pengajaran merupakan elemen
yang penting dalam pembelajaran membaca. Masa pengajaran membaca yang
diperuntukkan terlalu singkat dan tidak mencukupi akan menyebabkan guru-guru
tidak dapat membantu pelajar untuk membaca dengan berkesan terutama pelajar
yang mempunyai tahap kecerdasan yang lemah atau sederhana. Oleh yang demikian,
pelajar-pelajar tersebut tidak dapat menguasai kemahiran membaca dengan
berkesan. Sebagai contoh, masa yang diperuntukkan untuk belajar membaca hanya
30 minit sahaja bagi pelajar darjah satu, dua, dan tiga. Di samping itu, mereka
perlu mempelajari kemahiran-kemahiran lain melalui mata pelajaran yang lain.
Hal ini akan memberikan suatu situasi yang sukar bagi mereka terutama pelajar
yang berada pada darjah satu, dua, dan tiga. Kesannya, mereka akan mengalami
masalah dalam pembelajaran khususnya masalah membaca.
Selain faktor luaran,
faktor dalaman juga mendorong kepada masalah membaca. Terdapat beberapa faktor
dalaman yang mempengaruhi masalah membaca. Antara faktor-faktor yang
mempengaruhi masalah membaca ialah dalaman diri pembaca itu sendiri berpunca
dari dalam diri mereka sendiri. Dalam faktor dalaman ini, pembaca mengalami
masalah dari aspek kognitif atau inteleknya sendiri. Selain itu, masalah dalaman
yang wujud dalam diri pelajar yang menyebabkan sebilangan daripada mereka
mengalami masalah membaca itu sendiri ialah aspek psikologi. Masalah ini
dipengaruhi oleh pelajar dan bukannya dipengaruhi oleh masalah luaran. Menurut
Marohaini Yusoff (1999), faktor dalaman yang mempengaruhi masalah pembacaan
pembaca dalam aspek intelektual adalah seperti kecerdasan, kebolehan berbahasa,
dan pengalaman sedia ada pada diri pembaca itu sendiri.
Aspek kecerdasan dan kebolehan pelajar membaca
adalah saling berkait. Sekiranya pelajar yang mempunyai tahap kecerdasan minda
yang tinggi, maka mereka akan mampu untuk memberi perhatian dan memahami
sesuatu struktur ayat yang dibaca dengan
lebih mudah tanpa perlu mengulang serta meneliti berulang kali. Perkara
ini menampakkan perbezaan ketara sekiranya perbandingan dibuat dengan pelajar yang
mempunyai tahap kecerdasan yang lebih rendah. Golongan pelajar yang mempunyai
tahap kecerdasan yang rendah ini akan mengambil masa yang lebih lama untuk
memahami sesuatu bahan yang dibaca. Menurut Roe, Stoodt dan Burn (1978),
pertalian yang rapat antara kecerdasan dan kebolehan membaca ini lebih ketara dalam
kalangan pelajar pada peringkat menengah daripada murid peringkat rendah.
Perkara ini akan menimbulkan masalah kepada pelajar diperingkat menengah kerana
kecerdasan dan kemampuan untuk memahami struktur ayat yang lebih kompleks dan
canggih. Kesannya, pelajar yang mempunyai tahap kemampuan kecerdasan akal yang
rendah akan mengalami kesukaran untuk memahami dan bersaing dengan rakan-rakan
yang lain dalam matapelajaran yang dipelajarinya.
Pengetahuan sedia ada yang terbatas juga
merupakan salah satu faktor dalaman pembaca
yang mendorong berlakunya masalah membaca. Pengalaman sedia ada ini
diperolehi daripada kehidupan seharian pembaca. Kesemua pengalaman dan
pengetahuan sedia ada ini diperolehi di rumah, didikan ibu bapa, sekolah, sosiobudaya
dan sebagainya. Sekiranya seseorang pembaca itu hidup dalam suasana keluarga
yang mempunyai tabiat membaca, nescaya pembaca tersebut akan terdorong untuk
membaca walaupun secara tidak langsung. Sememangnya pengaruh persekitaran
berkait rapat dengan pengalaman sedia ada seseorang pembaca untuk mengukur
tahap kebolehan membaca dengan lancar dan memudahkan pemahaman terhadap sesuatu
yang dibaca. Kadang-kala terdapat juga sebilangan kecil pembaca yang hidup
dalam suasana budaya membaca namun kefahaman dan pemahaman sesuatu yang dibaca
pada tahap yang rendah. Hal ini sememangnya tidak dinafikan, walaupun suasana
persekitaran pelajar mengalakkan pembacaan tetapi tahap kemampuan kognitif
pembaca tersebut ditahap yang rendah untuk menerima dan menilai sesuatu amalan
tersebut khususnya membaca.
Kebolehan
berbahasa merupakan salah satu faktor yang besar mendorong ke arah masalah
membaca. Pembaca yang tidak luas tahap pembacaan dan lemah dalam tatabahasa
ditambah pula dengan kehidupan dalam masyarakat yang menggunakan bahasa dialek
kedaerahan menambahkan lagi masalah kesukaran seseorang pembaca untuk membaca.
Mungkin mereka mampu untuk memahami apa yang dibaca. Hal ini kerana, sekiranya seseorang pembaca itu
bertutur dalam dialek kenegerian, pembaca tersebut mengalami kesukaran untuk
menyampaikan maklumat yang dibacanya kepada orang lain. Pembaca tersebut hanya
memahami perkara yang dibaca untuk dirinya sahaja dan bukannya menyampaikan
perkara yang dibaca kepada orang lain.
Menurut
Marohaini Yusoff (1999), faktor dalaman yang mempengaruhi masalah pembacaan
pembaca (murid) dalam aspek psikologi adalah seperti minat,motivasi dan konsep
diri merangkumi motivasi intrinsik iaitu motivasi dari dalam diri pembaca itu
sendiri. Minat dan motivasi memainkan peranan besar bagi memupuk kebolehan
membaca dalam kalangan pelajar. Kemahiran membaca sebenarnya memerlukan
pembelajaran berterusan untuk memahirkan seseorang pelajar dengan huruf-huruf
dan struktur ayat. Maka, minat dan motivasi amat diperlukan seseorang pelajar
untuk menyemai minat membaca.
Menurut
Sylvia Ashton Warner (1973), satu kaedah untuk meningkatkan minat membaca dan
memotivasikan pelajar membaca dengan menggunakan cerita-cerita yang dibuat oleh
pelajar sendiri berdasarkan topik-topik yang diminatinya. Pada kebiasaanya,
pelajar akan tertarik sesuatu bahan bacaan yang menarik minatnya. Sekiranya
sesuatu bahan bacaan dapat menarik minat mereka, maka mereka akan terus membaca
walaupun sesuatu bahan bacaan yang dibaca itu dianggap susah berdasarkan
peringkat umur mereka. Dalam konteks ini, guru perlu peka terhadap persekitaran
disekeliling pelajat supaya pelajar lebih minat untuk menerapkan minat
pembacaan dari awal usia lagi.
Guru
perlu mencari suatu kaedah bagaimana menunjukkan kepentingan membaca dengan menjadikan
membaca sebagai suatu amalan hidup. Program Buku Nilam perlu kerap dianjurkan
dan pengisisannya perlu menarik minat pelajar. Bagi pelajar yang mempunyai
masalah membaca dan tahap kebolehan membaca adalah tahap paling rendah. Program
Intervensi Awal Membaca dan Menulis (KIA2M) perlu dilaksanakan bagi mengatasi
masalah pelajar yang lambat atau belum menguasai kemahiran asas membaca dan
menulis. Setiap kelas dan rumah perlu mempunyai bahan bacaan seperti majalah
kanak-kanak supaya minat terhadap pembacaan disemai sejak dari kecil lagi.
Selain
itu, masalah membaca juga disebabkan oleh masalah kecelaruan bahasa atau
disebut sebagai disleksia. Menurut Noor Aina Dani (1968), beliau mendefinisikan
disleksia sebagai kecelaruan bahasa yang berlaku dalam kalangan individu untuk
menguasai kemahiran membaca, menulis atau mengira (Adnen Ayob & Abdullah
Yusof, 2010: 109). Pelajar yang mengalami masalah kecelaruan bahasa akan
mengalami kesukaran dalam pembelajaran seperti pembelajaran membaca. Masalah
ini juga tidak mempunyai penawar. Menurut Adenan Ayob dan Abdullah Yusof
(2010), mereka menyatakan bahawa pelajar yang mengalami masalah membaca
disebabkan oleh masalah disleksia akan melakukan tindakan seperti hanya
berpura-pura membaca buku dengan berpandukan gambar yang dilihatnya,
teragak-agak apabila disuruh membaca, dan menunjukkan teks dengan jari semasa
membaca. Selain itu, mereka juga akan mengalami kekeliruan dengan kedudukan
perkataan. Contohnya makan menjadi makna.
Oleh
yang demikian, para guru hendaklah peka akan masalah yang dihadapi oleh setiap
pelajar terutama dalam masalah membaca. Sekiranya masalah pelajar yang
mengalami masalah ini dapat dikesan dengan lebih awal, mereka dapat dibantu
dengan kaedah yang sesuai untuk mengatasi masalah tersebut. Melalui tindakan
ini, pelajar yang bermasalah dapat menjalani proses pembelajaran dengan lebih
teratur dan tidak ketinggalan.
Perasaan
murid tentang diri mereka juga mempengaruhi pencapaian kebolehan membaca.
Menurut Roe, Stoodt, dan Burns (1978), konsep diri merupakan satu set
kepercayaan dan sikap seseorang individu yang mempercayai kebolehan dirinya. Pelajar
yang mempunyai konsep diri yang negatif biasanya kurang keyakinan tentang
kebolehan diri dan mempunyai perasaan rendah diri. Pelajar yang yakin kepada
dirinya sendiri biasanya akan berjaya jika hendak dibandingkan dengan pelajar
yang mempunyai konsep kendiri yang negatif. Sebagai contoh pengertian mengenai
konsep diri positif dan negatif, kebolehan seseorang pembaca memahami struktur
ayat Bahasa Inggeris. Pelajar yang mempunyai konsep kendiri yang positif akan
mampu membaca dan memahaminya walaupun terpaksa membuka kamus. Namun sebaliknya
berlaku kepada pelajar yang mempunyai konsep kendiri yang negatif, sekiranya
persepsi mereka mengatakan mereka tidak minat maka mereka langsung untuk
mencuba memahami struktur sesuatu ayat tersebut. Secara umumnya, masalah membaca
yang berpunca dari dalam diri adalah berbeza dengan faktor luaran namun ianya
saling berkait dan memberi kesan terhadap satu sama lain.
Aspek-aspek
yang dinyatakan memainkan peranan penting dalam menjadikan bahan bacaan menarik
dan mudah difahami. Dengan daya tarikan serta bahan bacaan, seseorang yang
membacanya lebih mudah tertarik untuk meneruskan bacaan selain memudahkan
pemahaman melalui bacaan tersebut. Dengan pemahaman tentang bahan bacaan,
matlamat proses membaca akan berjalan dengan baik. Kefahaman tentang konsep
membaca adalah perlu untuk memastikan seseorang tahu matlamat proses pembacaan.
Walau
bagaimanapun, masalah-masalah yang berkaitan dengan proses membaca juga perlu
diteliti bagi membolehkan sebarang tindakan meningkatkan proses bacaan boleh
dilakukan dengan efektif. Melalui penelitian yang dijalankan, faktor-faktor
yang menyumbang kepada kegagalan memperoleh maklumat dan ilmu daripada proses
membaca dapat dikurangkan. Selain itu, lebih ramai orang akan dapat menguasai
konsep sebenar pembacaan seterusnya menjadikan membaca sebagai budaya
masyarakat.
perkongsian yang baik
ReplyDelete